Anwar kejar undi kaum India

2 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat hanya berminat 'mengejar' undi kaum India berbanding memberi fokus kepada kebajikan mereka.

Perkara itu dinyatakan oleh pemimpin Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf), P. Uthayakumar yang menegaskan Anwar juga tidak berminat dalam menyelesaikan isu-isu melibatkan kaum India.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Anwar melabel Hindraf sebagai bersifat perkauman selepas pernah menyokong serta 'menunggang' perjuangan pertubuhan itu pada 2008.

"Anwar telah gagal memberi maklum balas kepada Hindraf walaupun pergerakan ini pernah beberapa kali mencuba untuk berhubung dengan beliau.

"Kita telah menulis beberapa pucuk surat kepadanya berhubung banyak isu melibatkan kaum India, tetapi beliau tidak pernah beri maklum balas," katanya seperti dipetik dalam portal The Mole, http:// www.mole.my hari ini.

Baru-baru ini, Anwar mengkritik barisan baharu Kabinet dan mempersoalkan keputusan kerajaan melantik Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Dakwa Anwar, Waythamoorthy sebelum ini pernah menolak beberapa teras dalam Perlembagaan Persekutuan dan Hindraf merupakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) versi India.

Pertengahan bulan lalu, Uthayakumar pernah mencabar Anwar untuk berdebat selepas pemimpin pembangkang itu melabel Hindraf dan Perkasa sebagai pertubuhan pelampau.

Menurut Uthayakumar, pakatan pembangkang juga didapati bersalah terhadap kaum India kerana gagal mendukung hak asasi kaum tersebut.

"Mereka tidak ambil peduli terhadap orang India kerana mereka tidak mendapat keuntungan politik dengan mengetengahkan rungutan kaum itu.

"Hanya sebelum pilihan raya umum lalu, mereka terlibat dengan isu 300,000 orang India di negara ini tidak memiliki taraf kewarganegaraan dan berjanji akan menyelesaikannya. Tetapi tidak banyak yang mereka buat," jelasnya.

Kepada soalan sama ada Anwar akan menyahut cabaran berdebat, beliau berkata: "Saya tidak fikir beliau akan menerima cabaran terbabit kerana Anwar tiada idea terhadap menyelesaikan isu-isu berkaitan kaum India dan beliau tiada niat untuk memperjuangkan dan menamatkan rasisme terhadap kaum itu."



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130603/po_04/Anwar-kejar-undi-kaum-India-bukan-jaga-kebajikan---Uthayakumar#ixzz2V8tX19p7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment