BN mampu tawan semula Permatang Pauh

Bukit Mertajam: Sebut saja Parlimen Permatang Pauh, sudah pasti orang ramai akan terbayang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kawasan itu dikatakan kubu kuatnya serta cukup sinonim dengannya. 

Lebih tiga dekad iaitu sejak 1982, Anwar diulit keselesaan di Permatang Pauh, namun popularitinya dikatakan mula menurun selepas dia gagal membawa kemajuan selain mengabaikan kebajikan penduduknya kerana terlalu taksub untuk menawan Putrajaya. 


Malah, kebelakangan ini juga terdengar ada usaha untuk menjatuhkan Anwar, dipimpin penyokongnya sendiri dari Permatang Pauh. Mereka juga dikatakan berusaha untuk mendapatkan sokongan bekas pemimpin PKR untuk menjayakan misi itu. 


Anwar menang empat penggal atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum digantikan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang memenangi pilihan raya umum (PRU) 1999 ketika beliau dipenjarakan, dilihat hanya kuat dari segi sentimen tetapi gagal mengubah nasib rakyatnya. 

Pada 2008, Anwar sekali lagi diberi laluan menjadi Ahli Parlimen, selepas Wan Azizah meletakkan jawatan. Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) pada pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan pada 26 Ogos 2008. 

Tawan Putrajaya 

Melihat momentum politiknya yang masih kukuh di Permatang Pauh, Anwar dilihat terlalu leka mengejar cita-cita menawan kerusi Putrajaya dan memasang angan-angan menjadi Perdana Menteri dengan mengkhianati kepercayaan pengundinya. 
Kelekaan Anwar itu kemungkinan menyebabkan Permatang Pauh menerima tempias hasil perubahan besar corak politik di Pulau Pinang pada PRU-13, terutama dalam meraih undi orang Melayu. 

Lensa PRU-13 pastinya akan tertumpu di P44, bukan kerana ia kubu kuat Anwar semata-mata, tetapi juga pengukur keupayaan BN dan UMNO untuk menggunakan peluang dan menajamkan jentera memastikan kawasan hitam itu kembali ke pangkuannya. 

Permatang Pauh mempunyai kira-kira 70,000 pengundi berdaftar dengan 71 peratus pengundi adalah Melayu, Cina (23 peratus) serta India dan lain-lain, enam peratus. 

Penentu kemenangan P44 sudah tentu di tangan orang Melayu dan ini memberi peluang kepada UMNO untuk menguji keupayaannya sebagai parti keramat orang Melayu, serta mengembalikan semula sokongan mereka kepada BN. 

Sejak DAP mengambil alih tampuk kerajaan negeri pada 2008, banyak dasarnya didakwa mengguris hati orang Melayu, tidak kira soal pemilikan hartanah, kebajikan atau isu sensitif termasuk sentimen membabitkan agama dan hak Bumiputera yang sekali gus dilihat memberi kelebihan untuk BN khususnya di Permatang Pauh. 

Parlimen Permatang Pauh mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir. 

Cakap-cakap kurang enak 

Walaupun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya dimenangi calon BN iaitu Arif Shah sejak dua penggal berturut-turut, ia belum cukup untuk memastikan BN kekal selesa di kawasan itu kerana kemenangannya hanya dengan majoriti kecil iaitu 533 undi. 

Arif Shah yang menentang Anwar pada PRK Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 tewas dengan majoriti 15,671 undi. Bagaimanapun, kekalahan itu bukan pengukur PRU-13 kerana ia berlaku akibat tsunami politik dan keadaan kini sudah jauh berubah. 

Harapan BN di P44 masih ada, kerana di DUN Penanti yang kini disandang Dr Mansor Othman daripada PKR mula kedengaran cakap-cakap kurang enak yang disuarakan rakyat termasuk kalangan ahli PKR dan PAS sendiri yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana Mansor didakwa tidak turun padang dan tempias itu terpalit sama di kerusi Permatang Pasir yang dikuasai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man. 

No comments:

Post a Comment